
“Aiyoo, macam mana BN boleh kalah aaa ini kali? Wa sula pangkah diolang, kalah juga”, ujar pemandu teksi berbangsa Cina yang mengambil aku di depan Puduraya pagi tadi. Dengan dahi berkerut, dia berkata lagi, “Apasal olang suda tak mau sokong BN, BM takda buat kerja ka?”. Aku senyum lebar. Aku tengok gaya pemandu itu. Kesian pun ada. Dengan baju cap biskut yang lusuh mungkin dah berusia lebih dari 7-8 tahun, seluar hitam yang dah menjadi pudar warnanya, surat khabar terkini di depan Dashboard, aku dapat jangka pemandu ini mungkin mendapat maklumat dari 2 punca : Surat Khabar & sembang pemandu-penumpang. Maklumat yang diterima mungkin juga berat pada sesuatu pihak, untuk kepentingan mereka.
Sepanjang perjalanan itu, dahinya berkerut, memikirkan masa depan, yang padanya telah kelam, bila di tempat dia mengundi telah diambil oleh pihak lain, dan sekarang dia pula menjadi pembangkang. Dia bercerita lagi, pasal Khir Toyo menangis, Samy Vellu lari bercawat ekor, Koh Tsu Koon yang mengundur diri secara gentleman dan Pak Lah yang masih di takhta. Aku beri idea-idea ku yang bernas, walaupun kepalaku masih lagi ‘high’ dengan ubat selsema minggu lepas. Dia cakap, siapa mahu wakilkan masyarakat India di dalam BN bila semua wakilnya kecundang. Aku hanya diam. Tajam gak fikiran pakcik ni.
Teksinya membawa aku terus ke tengah KL, melalui jalan bertentang The Beach, sambil bersembang tentang kekalahan BN 2 hari lepas. Dia masih lagi tidak boleh menerima kekalahan itu. Aku berkata padanya “Taukeh, selama ini, itu wakil rakyat patutnya berkhidmat untuk masyarakat, tapi ramai tak jumpa masyarakat. Duduk rumah, atau pergi jalan-jalan atau buat benda lain. Lu sudah orang pilih jadi wakil, lu kena serve the people. Lu tak buat. Ini sekarang orang mau tunjuk, dia boleh pilih siapa dia mahu jadi wakil”. Aku berkata lagi, “Siapa pun menang uncle, itu orang kita pilih mesti buat kerja. Diaorg yang diberi amanah untuk menjalankan kerja. Itu orang kalah, 5 tahun lagi boleh bertanding.” Dia angguk sahaja. Mungkin dia paham. Mungkin juga confuse.
Sedar tak sedar, teksinya dah sampai depan ofis aku. Aku hulurkan bayaran tambang, dia kembalikan baki. Aku kata “See You, uncle”, dan teksinya beredar. Dalam pikiran aku berkata, memang teori aku pasal pemandu teksi selama ini memang betul. Mereka semua memang tajam fikirannya dan mengikut perkembangan semasa. Cuma sayangnya, medium yang dipilih hanyalah satu cara.
Walau apapun, kalau anda tiada kawan untuk bersembang, naiklah teksi, 80% pemandunya sangat peramah.